Bantuan dan reformasi ekonomi perlu seimbang

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri

KUALA LUMPUR 10 Oktober – Belanjawan 2027 perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada bantuan kos sara hidup, malah reformasi struktur ekonomi bagi memastikan pendapatan rakyat dapat ditingkatkan secara berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan gaji minimum dan bantuan tunai mesti disokong kawalan harga untuk melindungi kuasa beli rakyat.
  • Bantuan kepada peniaga perlu mengurangkan tekanan kos operasi supaya tidak dipindahkan kepada pengguna.
  • Bantuan tunai bersifat jangka pendek, reformasi struktur ekonomi perlu diutamakan untuk peningkatan pendapatan jangka panjang.
  • Keberkesanan Belanjawan dinilai melalui manfaat sebenar, pangkalan data tepat, pemantauan berterusan dan petunjuk prestasi bagi kurangkan ketirisan.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri berkata, langkah meningkatkan gaji minimum dan menyediakan bantuan tunai perlu disokong dengan usaha mengawal harga barang bagi melindungi kuasa beli rakyat.

“Jika dilihat dalam belanjawan terbaharu ini, kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Langkah ini, bersama bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, bantuan kepada peniaga dapat mengurangkan tekanan akibat kenaikan kos operasi supaya peningkatan kos tidak dipindahkan kepada pengguna. Langkah ini penting untuk mengawal harga barang meskipun gaji minimum dinaikkan,” katanya kepada media selepas bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bantuan tunai lebih bersifat jangka pendek, manakala reformasi struktur ekonomi perlu menjadi keutamaan bagi menjamin peningkatan pendapatan rakyat dalam jangka panjang.

Antara langkah penting ialah memastikan kenaikan gaji bergerak seiring peningkatan produktiviti serta memperluas peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi.

“Bantuan tunai bersifat jangka pendek. Sebaiknya, reformasi struktur ekonomi dilaksanakan, termasuk peningkatan gaji ke tahap yang lebih bermaruah.

“Peningkatan gaji itu perlu seiring dengan produktiviti supaya dapat mewujudkan situasi menang-menang antara majikan dan pekerja,” jelasnya.

Dalam pada itu, keberkesanan Belanjawan 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui manfaat sebenar yang diterima rakyat.

Beliau berkata, penggunaan pangkalan data yang tepat penting bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan.

Pemantauan berterusan serta penetapan petunjuk prestasi yang bersesuaian bagi setiap peruntukan juga penting untuk menilai keberkesanan pelaksanaan dasar.

Antara indikator yang perlu diberi perhatian ialah pertumbuhan ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat dan pengukuhan perniagaan bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.