PUTRAJAYA, 14 SEPTEMBER - Pembentangan Belanjawan 2026 diharap dapat memberi penekanan kepada inisiatif merancakkan sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Ia juga bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi mengemukakan keutamaan dan cadangan Wilayah Persekutuan untuk tahun hadapan.
"Kita berharap agar segala permohonan yang telah dikemukakan akan dipertimbangkan, dan pada kali ini tumpuan utama diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah pentadbiran kita, khususnya di Labuan.
"Kita berhasrat untuk terus memajukan Labuan, dan bagi Belanjawan 2026, peruntukan yang dicadangkan untuk merancakkan sektor pelancongan di wilayah tersebut diharapkan dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan", katanya selepas program FT Run Putrajaya 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, TMM 2026 juga menyaksikan pelbagai program akan diadakan termasuk menceriakan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Selain itu, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai program juga sedang dirancang bagi tujuan pelaksanaan, termasuk usaha mencantikkan Bandaraya Kuala Lumpur", katanya.
Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober, dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, dan memacu pembaharuan, khususnya dalam aspek tadbir urus yang baik.