IPOH, 28 November - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2024 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bakal menjadi tumpuan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, yang akan bermula Jumaat ini.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahid Abdul Khalid berkata Enakmen Wasiat Orang Islam (Perak) 2023, turut akan dibentangkan.
"Mesyuarat kelima, tahun pertama sidang negeri ini berlangsung bermula daripada 1 Disember sehinggalah 8 Disember selama enam hari, seperti kelazimannya sepanjang enam hari persidangan tersebut sesi soalan lisan akan berlangsung..tempoh sesi soalan lisan pada kali ini kita kembali kepada format asal iaitu 60 minit," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Tambah Mohammad Zahid, Persidangan DUN Perak turut menyediakan empat skrin LED besar bagi memudahkan ADUN melihat infografik pembentangan belanjawan secara terus berbanding sebelum ini menerusi penstriman secara langsung di laman Facebook dan YouTube.
"Orang ramai boleh mengikuti penstriman secara langsung sepanjang persidangan melalui saluran YouTube DUN Perak dan pautan akan dipaparkan di portal rasmi Kerajaan Negeri serta laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak," katanya.