
SAUDARA PENGARANG
- Algoritma platform menentukan capaian kandungan; perhatian digital jadi sumber utama, mencabar ketepatan dan integriti komunikasi politik.
- Komunikasi berubah kepada dialog interaktif, townhall dan soal jawab langsung, menilai kredibiliti pemimpin secara berterusan.
- Pertandingan naratif mengatasi poster; kejayaan bergantung kepada integrasi strategi digital dan kempen lapangan untuk membina kepercayaan pengundi.
Pilihan raya pada abad ke-21 tidak lagi sekadar pertandingan antara parti politik, calon atau manifesto. Ia semakin menjadi pertandingan untuk menguasai perhatian, membentuk persepsi dan membina kepercayaan.
Dalam konteks ini, PRN Johor menawarkan satu peluang yang menarik untuk memahami bagaimana transformasi media digital sedang mengubah strategi kempen politik di Malaysia.
Politik Memasuki Era Komunikasi Digital
Menurut Maxwell McCombs dan Donald Shaw yang memperkenalkan teori Agenda Setting, media mampu mempengaruhi perhatian masyarakat dalam meletakkan isu mana yang dianggap penting pada sesuatu masa.
Namun, teori ini dibangunkan ketika media tradisional masih menjadi saluran utama penyebaran maklumat.
Hari ini, senario tersebut telah berubah secara radikal. Kemunculan media sosial telah mengurangkan monopoli media arus perdana dalam membentuk agenda awam.
Pengguna bukan lagi sekadar penerima maklumat, bahkan menjadi penerbit, penyunting dan penyebar kandungan.
Fenomena ini sejajar dengan konsep Network Society yang diterangkan oleh Manuel Castells, di mana kuasa komunikasi semakin tersebar melalui rangkaian digital dan bukannya tertumpu kepada institusi media konvensional.
Kesannya, pertandingan politik tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada akses kepada media tradisional, tetapi kepada keupayaan menguasai perbincangan, perdebatan, interaksi, analisa,perkongsian dalam ruang digital.
Ceramah Tidak Lagi Berakhir di Tempat Ceramah
Dalam kempen politik konvensional, ceramah berfungsi menyampaikan mesej kepada mereka yang hadir di lokasi. Namun, dalam era media sosial, fungsi tersebut telah berkembang.
Ceramah kini menjadi bahan kandungan media sosial kepada pelbagai bentuk kandungan digital.
Ia boleh disiarkan secara langsung, disunting menjadi video pendek, diulang siar dalam pelbagai platform dan dibincangkan oleh masyarakat selama berhari-hari selepas ceramah tamat.
Ini menunjukkan bahawa nilai sesuatu ceramah tidak lagi bergantung kepada jumlah peserta yang hadir yang memenuhi dewan, khemah-khemah atau trak, tetapi kepada sejauh mana kandungannya mampu hidup, diviralkan, dikongsi, dipersetujui dan disukai dalam ekosistem digital.
Dalam ekonomi perhatian (Attention Economy), perhatian merupakan sumber yang terhad tetapi sangat bernilai. Oleh itu, parti politik bukan sahaja bersaing untuk mendapatkan undi, malah bersaing mendapatkan perhatian rakyat terlebih dahulu.
Daripada Monolog kepada Dialog
Perubahan yang sama turut berlaku dalam bentuk komunikasi politik. Menurut teori Mediatization of Politics oleh Jesper Strömbäck, logik media semakin mempengaruhi cara ahli politik berkomunikasi.
Pemimpin dan calon-calon parti politik tidak lagi boleh bergantung kepada komunikasi sehala. Mereka perlu menyesuaikan mesej dengan budaya media digital yang lebih pantas, interaktif dan terbuka.
Oleh sebab itu, sesi dialog, townhall, siaran langsung dan soal jawab spontan semakin menjadi sebahagian daripada strategi kempen moden.
Pendekatan ini membolehkan rakyat bukan sahaja mendengar, tetapi turut bertanya, mencabar dan menilai kredibiliti seseorang pemimpin secara langsung.
Dalam masyarakat yang semakin kritikal, proses komunikasi sering menjadi sama penting dengan kandungan mesej itu sendiri.
Pertandingan Naratif Lebih Penting daripada Pertandingan Poster
Menurut Robert Entman, yang memperkenalkan Teori Framing, sesuatu isu bukan sahaja dipengaruhi oleh fakta semata-mata, tetapi juga oleh bagaimana fakta tersebut dipersembahkan dari sudut dan dalam perspektif yang sesuai dengan isu semasa dan mampu menarik minat para pendengar.
Inilah sebabnya pertandingan politik hari ini semakin bergantung kepada siapa yang lebih berjaya membentuk naratif sebelum lawan sempat membentuk persepsi yang berbeza.
Naratif Bukan Sekadar Slogan.
Naratif ialah skop perbincangan yang menentukan bagaimana rakyat mentafsir sesuatu dasar, kenyataan atau peristiwa. Dalam era media sosial, pertandingan naratif berlaku sepanjang masa dan bukannya hanya ketika tempoh rasmi kempen.
Algoritma Sebagai Pengundi Pertama
Satu lagi perubahan penting ialah pengaruh algoritma media sosial. Sebelum sesuatu mesej sampai kepada rakyat, ia terlebih dahulu “dinilai” oleh algoritma platform digital.
Jika kandungan itu gagal menarik perhatian pengguna, ia mungkin tidak akan mencapai khalayak yang luas walaupun mesej tersebut mempunyai nilai yang tinggi.
Sebaliknya, kandungan yang mencetuskan emosi, konflik atau rasa ingin tahu sering menerima capaian yang lebih besar. Fenomena ini mewujudkan cabaran baharu kepada politik moden.
Parti politik perlu menghasilkan kandungan yang menarik perhatian tanpa mengorbankan ketepatan fakta dan integriti komunikasi.
Implikasi kepada PRN Johor
Dalam konteks PRN Johor, persoalan utama bukanlah sama ada kempen digital akan menggantikan kempen lapangan.
Jumlah tontonan, interaksi atau penularan (virality) yang tinggi semata-mata tidak diterjemahkan kepada undian. Interaksi hanya mengukur perhatian bukan sokongan.
Begitu juga jumlah kehadiran peserta ke tempat ceramah yang ramai juga tidak bermaksud sokongan yang tinggi. Sebaliknya, persoalannya ialah sejauh mana kedua-duanya dapat diintegrasikan secara strategik.
Media digital membina kesedaran, memperkenalkan naratif dan mempengaruhi persepsi. Kempen lapangan pula mengukuhkan hubungan, meningkatkan keyakinan dan mendorong tindakan mengundi.
Kedua-duanya, kempen digital yang di siarkan secara langsung (live streaming) dan kempen-kempen secara fizikal, saling melengkapi dan tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing.
Kesimpulan
PRN Johor mencerminkan satu realiti yang lebih besar. Politik Malaysia sedang beralih daripada politik mobilisasi kepada politik komunikasi, daripada politik organisasi kepada politik jaringan digital, dan daripada politik pengaruh fizikal kepada politik ekonomi perhatian.
Parti yang terus bergantung kepada formula lama mungkin masih mampu menarik penyokong setia, tetapi belum tentu berjaya mempengaruhi kelompok pengundi yang masih terbuka untuk membuat pilihan.
Dalam era digital, kemenangan tidak lagi hanya bergantung kepada siapa yang memiliki jentera paling besar atau pentas paling megah.
Ia semakin bergantung kepada siapa yang paling pantas memahami perubahan tingkah laku masyarakat, menguasai naratif, membina kepercayaan dan menyesuaikan strategi komunikasi dengan realiti baharu.
Akhirnya, pilihan raya bukan lagi sekadar pertandingan mendapatkan undi. Ia telah menjadi pertandingan untuk mendapatkan perhatian, membentuk makna dan memenangi kepercayaan.
Dalam politik moden, mereka yang gagal memahami perubahan ini mungkin tidak kalah kerana lawannya lebih kuat, tetapi kerana mereka masih bertanding mengikut peraturan permainan yang telah berubah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my