Belanja secara berhemah ketika hadapi ketidaktentuan ekonomi global

Dr Muhammad Danial Azman

KUALA LUMPUR, 18 Mac Orang ramai dinasihatkan untuk berbelanja secara berhemah menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri terutama dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancang kewangan dengan teliti dan imbangkan antara keperluan serta kehendak.
  • Sentiasa peka terhadap perkembangan ekonomi kerana konflik boleh menaikkan harga minyak, makanan dan inflasi.
  • Manfaatkan subsidi bersasar jangka pendek, dan tingkatkan simpanan serta sokong langkah kerajaan kekalkan bekalan asas.

Timbalan Pengarah Eksekutif, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya, Dr Muhammad Danial Azman berkata, konflik di Asia Barat ketika ini menuntut masyarakat untuk merancang kewangan dengan teliti serta mengimbangi antara keperluan dan kehendak.

Selain itu orang ramai turut diingatkan supaya terus peka terhadap perkembangan ekonomi semasa, khususnya yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup harian.

“Apabila berlaku konflik, ekonomi pasti terkesan, sama ada di peringkat makro mahupun mikro. Gangguan terhadap perdagangan memberi kesan langsung kepada harga minyak dan gas, sekali gus mendorong peningkatan harga makanan serta inflasi yang dirasai oleh pengguna akhir.

“Walaupun konflik itu berlaku jauh, kesannya sebenarnya dekat kerana ekonomi berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

“Pelaksanaan subsidi bersasar yang dilakukan kerajaan, khususnya bagi keperluan asas, menjadi jaminan dalam tempoh terdekat. Namun dalam jangka panjang, penyelesaian bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan masyarakat, terutama dalam meningkatkan kadar simpanan,” kataya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dr Muhammad Danial berpandangan kerajaan telah mengambil inisiatif proaktif yang sewajarnya bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ini.

Ia termasuk memastikan bekalan barangan asas kekal mencukupi, termasuk melalui pengurusan stok penimbal.