Bekalan petrol, diesel negara stabil; RON95 kekal pada harga RM1.99 seliter

Foto BERNAMA

PERMATANG PAUH, 26 Mei Bekalan petrol dan diesel negara ketika ini berada dalam keadaan stabil serta mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan diplomatik kukuh membantu memastikan kelancaran rantaian bekalan tenaga negara.
  • Kapal bekalan minyak melalui Selat Hormuz selamat tiba di Pengerang, menunjukkan keberkesanan hubungan antarabangsa.
  • Pemerhatian gangguan bekalan di negara lain mendorong kerajaan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan pengeluar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited memastikan kestabilan bekalan bahan api terus terjamin di seluruh negara.

Beliau turut menegaskan bahawa harga petrol RON95 bersubsidi akan kekal pada kadar RM1.99 seliter bagi melindungi kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, hubungan antarabangsa yang baik memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan bahan api sentiasa mencukupi, terutama ketika beberapa negara lain berdepan gangguan bekalan.

“Insya-Allah, Presiden Iran akan menghubungi saya melalui telefon. Walaupun ada pihak yang mempersoalkan perkara itu, hubungan tersebut tetap berjalan dengan baik. Kapal bekalan minyak juga telah melalui Selat Hormuz dan selamat tiba di Pengerang.

“Ketika ini, kita melihat ada negara lain berdepan kesukaran bekalan seperti yang saya saksikan sendiri di Cebu, Filipina semasa mesyuarat ASEAN apabila ratusan stesen minyak terpaksa ditutup dan orang ramai perlu beratur panjang.

“Namun, Alhamdulillah, Malaysia masih belum berdepan situasi sedemikian. Kita berdoa agar keadaan kekal stabil. Hubungan diplomatik yang baik ini banyak membantu memastikan bekalan minyak negara terus mencukupi. Setakat ini, kita jangkakan bekalan diesel mampu bertahan sehingga Julai atau Ogos, Insya-Allah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan negara pengeluar bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara kekal terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.