
PASIR MAS, 4 November – Bekalan makanan negara termasuk beras masih mencukupi dan stabil bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan fenomena Super El Nino.
- Menteri menasihati rakyat agar tidak panik atau membeli makanan secara berlebihan.
- Keadaan bekalan makanan setakat ini terkawal; tidak perlu menyimpan stok beras dan telur secara berlebihan.
- Kerajaan akan memaklumkan jika berlaku perubahan yang memerlukan tindakan tertentu.
- Beliau memberi jaminan bekalan padi dipantau semasa persediaan menghadapi perubahan cuaca dan gangguan sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat dinasihatkan supaya tidak panik atau melakukan pembelian secara berlebihan.
Beliau berkata, setakat ini keadaan bekalan makanan negara masih terkawal dan belum memerlukan rakyat menyimpan stok makanan seperti beras dan telur dalam kuantiti yang banyak.
Katanya, kerajaan akan memaklumkan kepada rakyat sekiranya berlaku perubahan terhadap keadaan bekalan makanan negara yang memerlukan tindakan tertentu.
“Alhamdulillah, setakat ini kita tidak perlu panik atau membuat pembelian secara berlebihan, termasuk membeli beras untuk disimpan atau menyimpan telur ayam.
“Insya-Allah, sekiranya keadaan sampai ke peringkat itu, kita akan maklumkan kepada rakyat. Namun, setakat ini keadaan masih stabil dan bekalan masih mencukupi, beras pun cukup”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar, Pasir Mas, Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi jaminan bekalan beras ketika ini mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat meskipun negara sedang membuat persediaan menghadapi perubahan cuaca dan kemungkinan gangguan terhadap sektor agromakanan.