Bekalan bahan api negara stabil dan mencukupi, elak pembelian panik

FB Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU, 24 Mac – Bekalan semasa petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara ketika ini kekal stabil dan tiada kekurangan seperti didakwa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik; isu penawaran hanya kes terpencil akibat kelewatan logistik.
  • Penjualan atau pengisian bahan api selain ke dalam tangki tanpa permit khas adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
  • Jawatankuasa JTPAP diaktifkan untuk memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dan ketirisan disebabkan jurang harga serta konflik serantau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata situasi bekalan bahan api di Malaysia juga lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk di peringkat serantau.

“Isu yang dibangkitkan sebelum ini hanyalah kes terpencil melibatkan kelewatan penghantaran akibat faktor logistik, khususnya sepanjang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.

“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dakwaan kekurangan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah, yang dikaitkan dengan situasi di negara jiran, telah dijelaskan kepada Datuk Seri Hajiji dalam pertemuan berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah mencukupi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain ke dalam tangki kenderaan tanpa permit khas merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tegasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Datuk Armizan turut membentangkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang diaktifkan bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dan penyelewengan bahan api, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah.

Menurut beliau, risiko ketirisan meningkat susulan konflik Asia Barat serta jurang harga bahan api bersubsidi dalam negara berbanding negara jiran.