105 Orang Diselia di Kuala Krai diraikan keluarga sempena Aidilfitri

Seramai 105 ODS dapat meluangkan masa untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga mereka/foto BERNAMA

KUALA KRAI, 24 Mac – Seramai 105 Orang Diselia (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Krai diraikan sempena Aidilfitri hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran keluarga terhad tetapi dimanfaatkan sepenuhnya untuk melepaskan rindu yang lama terpendam.
  • Seorang ODS, Amin, rindu pelukan ibu; ibunya meninggal 2024; beliau dijangka dibebaskan bulan hadapan.
  • PRP menerima peruntukan untuk vokasional seperti pertanian, penternakan dan pembuatan, hasilnya disalurkan kembali melalui akaun amanah.

Walaupun kehadiran ahli keluarga adalah terhad, peluang itu tetap dimanfaatkan sepenuhnya bagi melepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

Bagi seorang ODS dikenali sebagai Amin, apa yang paling dirinduinya setiap kali Aidilfitri adalah untuk bersalaman dan memeluk kedua ibu bapanya.

Namun hasrat itu tidak kesampaian selepas ibunya meninggal dunia pada 2024, ketika beliau masih menjalani hukuman sejak 2022.

“Dia pernah pesan pada saya sebelum buat apa-apa keputusan fikir dahulu, jangan bertindak melulu,” katanya.

Amin yang dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan kerana kes samun berkumpulan bersenjata dijangka dibebaskan bulan hadapan.

Sementara itu, Ketua PRP Kuala Krai, Penguasa Penjara Jaini Ayong Rajawa berkata, jumlah kehadiran 105 ODS pada hari pertama sambutan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, situasi itu mencerminkan keprihatinan keluarga terhadap penghuni yang sedang menjalani hukuman.

“Ini antara jumlah tertinggi ODS yang dapat berjumpa keluarga pada hari pertama, menunjukkan keluarga semakin ambil berat terhadap mereka,” katanya.

Tambahnya, setiap pertemuan memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan selain membantu proses pemulihan sebagai persediaan sebelum dibebaskan.

Dalam perkembangan sama, PRP Kuala Krai turut menerima peruntukan daripada Jabatan Penjara untuk melaksanakan pelbagai aktiviti vokasional termasuk pertanian, penternakan dan pembuatan, dengan hasilnya disalurkan kembali kepada kerajaan melalui akaun amanah.