
KUALA LUMPUR, 24 Mac– Penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan terbuka dan premis awam di seluruh negara yang bermula sejak 1 Januari 2025 terus menjadi tumpuan masyarakat.
- Sokongan masyarakat kuat, tetapi penguatkuasaan masih tidak menyeluruh dan kurang konsisten terutamanya di luar bandar.
- Perlu mekanisme laporan awam seperti talian khas atau sistem hantar gambar untuk mempercepat tindakan penguatkuasaan.
- Cadangan sediakan zon merokok tertutup dan pelaksanaan berfasa supaya perokok dapat berhenti secara beransur ansur.
- Kesedaran individu dan tanggungjawab sivik diperlukan selain penguatkuasaan untuk mencapai persekitaran lebih sihat.
Langkah itu dilihat sebagai agenda kritikal dalam melindungi orang awam daripada risiko asap rokok terpakai, namun pelaksanaannya masih mendepani pelbagai cabaran, khususnya daripada aspek pematuhan dan konsistensi penguatkuasaan.
Hasil tinjauan mendapati majoriti masyarakat menyokong penuh usaha kerajaan, namun tahap penguatkuasaan di lapangan dianggap masih belum menyeluruh.
“Kalau di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, penguatkuasaan mungkin lebih efektif kerana kehadiran pihak berkuasa seperti DBKL yang kerap melakukan pemantauan. Namun, di kawasan luar bandar atau negeri lain, pelaksanaannya lebih mencabar disebabkan faktor komposisi dan budaya masyarakat setempat. Saya berpendapat kerajaan perlu mencari alternatif untuk menambah baik mekanisme penguatkuasaan ini,” jelas Wan Muhammad Aqlan Wan Zulkifli.
“Ia satu permulaan yang baik, namun kita tidak mahu undang-undang ini dilaksanakan secara mendadak sehingga menyulitkan keadaan. Ia perlu dilakukan secara berfasa bagi memastikan golongan perokok juga mempunyai peluang dan ruang untuk berhenti merokok secara beransur-ansur,” kata Anthony Obagarasamy.
Sehubungan itu, pelbagai cadangan dikemukakan bagi memperkukuh pelaksanaan larangan ini.
Antaranya termasuklah mewujudkan saluran khas untuk orang awam melaporkan kesalahan secara terus kepada pihak berkuasa serta penyediaan kawasan merokok tertutup bagi mengimbangi keperluan semua pihak.
“Kalau boleh, kekerapan pemantauan ditingkatkan atau wujudkan satu talian khas untuk orang awam membuat laporan. Contohnya, ambil gambar pesalah dan hantar terus kepada pihak berkuasa, sama seperti sistem saman polis. Itu lebih praktikal,” ujar Rizal Kamarudin.
“Dengan kuasa tular sekarang, orang ramai boleh merakam dan menularkan kesalahan tersebut. Namun, kita faham isu privasi. Jadi, mungkin boleh diwujudkan saluran rasmi untuk memuat naik gambar wajah pesalah tanpa perlu dikaburkan (uncensored) terus kepada penguat kuasa untuk tindakan lanjut,” kata Asmah Nabila Jamaluddin.
“Perlu ada zon khas untuk merokok. Jika tiada, mereka akan merokok di merata-rata tempat hingga menyebabkan orang sekeliling rasa tidak selesa dengan bau asap. Penyediaan tempat merokok yang tertutup adalah jalan penyelesaian terbaik,” jelas Nurani Fadillah.
Dalam masa yang sama, kesedaran individu kekal menjadi tunjang utama dalam memastikan keberkesanan polisi tersebut.
Faktor sikap dan tanggungjawab sivik dilihat lebih berkesan berbanding paksaan undang-undang semata-mata.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan sepenuhnya. Perubahan ini perlu bermula daripada individu itu sendiri. Kita tidak boleh memaksa orang jika mereka sendiri tiada keinginan untuk berubah,” kata Afiszul Ayob.
“Ia berbalik kepada sikap manusia yang kadangkala acuh tidak acuh. Macam baru malam tadi, saya lihat di kedai mamak, ada pelanggan selamba merokok berdekatan kanak-kanak. Ia sangat tidak wajar. Jadi, selain undang-undang, kesedaran diri adalah kunci utama,” ujar Nooralhakim Ahmad.
Kejayaan pelaksanaan larangan merokok di tempat awam bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas dan konsisten, malah menuntut komitmen semua pihak bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk generasi akan datang.