fb fb fb fb fb

Beg berisi RM1 juta hilang tiada unsur jenayah - Polis

Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM, 12 November- Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kes beg berisi wang tunai RM1 juta dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati kes pada Rabu berbentuk kecuaian ketika menutup pintu van.

Ia bukan satu komplot untuk mencuri atau merompak wang terbabit.

"Kita memantau semua perkara yang belaku termasuk menjejak lokasi pengambilan wang berkenaan. Jadi apabila dia ambil selekoh dekat kawasan lebuh raya, pintu van terbuka dan satu bungkusan terjatuh.

"Mereka tidak menyedari berkenaan perkara itu. Namun apabila tiba di bank seterusnya baru disedari kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah terlibat berpandukan keterangan daripada beberapa saksi berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam pada itu dua pengawal keselamatan terbabit yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan juga telah dibebaskan dengan jaminan polis pada dua hari lepas.

Sebelum ini media melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point, pada Rabu sebelum beg itu dijumpai pada hari sama di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.

Beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI