
PUTRAJAYA, 8 April- Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini bertujuan mengurus penggunaan bahan bakar negara secara lebih cekap, di samping tidak menjejaskan kelancaran perkhidmatan awam.
- BDR dikecualikan untuk sektor kritikal seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan dan sektor lain yang ditentukan pegawai kanan perkhidmatan awam.
- Teknologi digital membolehkan penjawat awam melaksanakan tugas dari mana-mana, memastikan perkhidmatan komunikasi dan penerangan terus berfungsi.
- Pelaksanaan BDR diselaraskan oleh ketua jabatan bagi memastikan fungsi asas perkhidmatan awam tidak terjejas.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu disasarkan untuk menjimatkan penggunaan bahan bakar dalam kalangan penjawat awam selaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
“Matlamat BDR ini adalah untuk memastikan penggunaan bahan bakar, khususnya dalam sektor awam, dapat dikendalikan dengan lebih efisien selain mencapai penjimatan dalam kalangan penjawat awam,” katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menegaskan pelaksanaan BDR tidak terpakai kepada sektor kritikal seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan serta mana-mana sektor yang ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Dalam masa sama, beliau yakin perkhidmatan awam termasuk jabatan yang terlibat dengan komunikasi akan terus berjalan lancar kerana teknologi digital membolehkan pegawai melaksanakan tugas dari mana-mana lokasi.
“Kita kini mempunyai pelbagai kaedah untuk berkomunikasi dengan khalayak umum termasuk melalui peranti mudah alih, justeru saya percaya sepanjang tempoh BDR ini, jabatan berkaitan termasuk Jabatan Penerangan masih dapat berfungsi dengan baik walau di mana mereka berada,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan BDR akan diselaraskan oleh ketua jabatan masing-masing bagi memastikan fungsi asas perkhidmatan awam tidak terjejas.
1 April lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan BDR mulai 15 April ini membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.