BANDAR HILIR, 29 Disember- Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir dijangka menjadi tarikan baharu pengunjung di Melaka sepanjang Ramadan tahun depan berikutan lokasi strategik.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bazar ikonik itu menggantikan Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah yang beroperasi sebelum ini.
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyediakan 230 tapak kepada peniaga di bazar terbabit dan telah menerima hampir 90 peratus permohonan daripada peniaga.
"Jadi jalan di kawasan depan Kota A Famosa ini hingga ke Bangunan Merah (Stadhuys) ini akan dijadikan bazar Ramadan buat pertama kali tahun ini bagi menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung datang ke sebelah sini untuk beli-belah sebagai persediaan hari raya.
"Di sini kita lengkap dengan pasar raya dan juga menggalakkan kawasan ini menjadi tumpuan pada setiap minggu memandangkan kawasan ini adalah satu kawasan pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Masakan Warisan Melaka di Perkampungan Muzium Rakyat Banda Hilir, di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan Festival Masakan Warisan Melaka akan dijalankan secara berjadual setiap tahun dan diperluas ke sekolah-sekolah di negeri itu.
Ia bagi memastikan pelajar khususnya di negeri itu mengenali masakan warisan Melaka sekali gus memastikan ia tidak ditelan zaman.