fb fb fb fb fb

Bazaar Little India Johor Bahru meriah menjelang Deepavali

Foto fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU, 19 Oktober -Menjelang sambutan Deepavali, Bazaar Little India, di sini terus menjadi tumpuan orang ramai, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan dengan kehadiran pelancong luar negara.

Tinjauan hari ini, mendapati pengunjung giat membuat persiapan akhir bagi menyambut pesta cahaya yang akan diraikan tidak lama lagi.

Pelancong luar dan orang ramai berkunjung untuk mendapatkan barangan keperluan seperti pakaian tradisional, manisan India, perhiasan rumah dan pelbagai keperluan lain.

"Saya rasa suasananya lebih meriah berbanding di Singapura. Semalam kami ke bazar malam, memang meriah dengan alunan muzik berbanding di Singapura. Harga barangan di sini juga lebih murah. Itulah sebab utama kami datang ke sini," pelancongan Singapura, Selvee Nagappa.

"Kami sangat gembira berada di Johor Bahru, Malaysia. Segala keperluan kami dapat ditemui di satu tempat. Suasana bandar yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni amat memukau dan menyerikan sambutan kali ini," pelancong India, Uday Kumar.

"Deepavali ialah perayaan cahaya yang melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan serta cahaya mengatasi kegelapan. Kami akan menyalakan bunga api, memasang pelita minyak, menghiasi rumah dengan rangoli berwarna-warni dan membersihkan kediaman kami sebagai tanda menyambut perayaan ini," pelancong India, Amrutha Varshini.

"Meriah dekat mana-mana pun meriah. Kita pelbagai kaum dan bangsa. Semua perayaan deepavali, raya atau tahun baru cina kita sambut sebagai satu bangsa. Tidak melihat perbezaan. Saya ada kawan Melayu dan Cina datang singgah ke rumah kita," pengunjung, M. Gobi.

Bazaar Little India menempatkan kira-kira 100 peniaga dengan pelbagai jualan, termasuk kuih-muih, perhiasan rumah dan perkhidmatan inai.

TETITIA YUSOFF