Bayaran ‘one-off’ RM500 veteran ATM mula disalur secara berfasa

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ RTM

BANGI, 27 April- Pembayaran khas Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 secara one-off melibatkan peruntukan RM60 juta telah mula disalurkan secara berfasa dengan kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menerima insiatif itu setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan bertanggungjawab secara moral memastikan kebajikan veteran terus terpelihara selepas tamat perkhidmatan.
  • Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya separuh anggota bersara setiap tahun ditempatkan bekerja melalui kerjasama dengan pihak industri.
  • Inisiatif seperti Program PROWIRA, pengiktirafan akademik dan peluang kerjaya kedua termasuk sektor pertanian disediakan untuk melibatkan veteran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memastikan kebajikan veteran terus terpelihara walaupun selepas menamatkan perkhidmatan.

“Menjadi tanggungjawab moral kerajaan untuk memastikan kesejahteraan veteran tidak terhenti walaupun selepas mereka tamat berkhidmat,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada anggota yang bersara setiap tahun dapat ditempatkan dalam pekerjaan melalui kerjasama dengan pihak industri.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program PROWIRA yang memberi peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada veteran sebelum memasuki pasaran kerja.

Kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif lain termasuk pengiktirafan akademik, kerjasama kerjaya kedua dan peluang dalam sektor tertentu seperti pertanian.