Pelajar dinasihat urus kewangan dengan bijak, pentingkan keperluan bukan kehendak

Pelajar di pusat pengajian tinggi dinasihat untuk mengurus kewangan dengan bijak. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April – Pelajar perlu lebih bijak mengurus kewangan bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahami perbezaan antara keperluan dan kehendak bagi mengawal perbelanjaan harian.
  • Manfaatkan bantuan kerajaan secara optimum dan susun agihan bantuan sepanjang tempoh pengajian.
  • Tetapkan keutamaan: fokus akademik, rancang pembelajaran teratur dan cari peluang tingkatkan pendapatan.

Pensyarah Kanan Ekonomi, UiTM Dungun, Dr. Mohd Khairi Ismail berkata, pengurusan kewangan yang baik amat penting bagi memastikan pelajar mampu menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.

Menurut beliau, pelajar perlu memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak dalam mengurus perbelanjaan harian.

Selain itu, pelajar juga disarankan untuk memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan agar dapat digunakan secara optimum serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

“Pelajar perlu mengetahui cara mengagihkan pembelajaran mereka sepanjang satu semester atau keseluruhan tempoh pengajian, memandangkan bantuan yang diberikan adalah tetap dan telah ditetapkan. Oleh itu, mereka perlu bijak merancang serta menyusun agihan masa pembelajaran dengan teratur dan berkesan,” kata Dr. Mohd Khairi Ismail selepas bertemu bual di Program Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Tambahnya, pelajar perlu bijak menetapkan keutamaan serta memberi fokus terhadap matlamat utama, khususnya dalam aspek akademik dan pengurusan kewangan.

“Pelajar perlu tahu membezakan antara perkara yang perlu dan yang tidak perlu untuk diberi keutamaan. Pada masa yang sama, mereka harus kekal fokus terhadap tujuan utama masing-masing. Walaupun akademik merupakan aspek yang penting, pelajar juga digalakkan untuk merebut peluang yang dapat membantu meningkatkan pendapatan dalam menghadapi kos sara hidup semasa,” katanya.