ALOR SETAR, 28 Julai - Kementerian Pengangkutan memperkenalkan satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam negara.
Ia menerusi perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY yang disediakan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program bertujuan meningkatkan kemampanan perkhidmatan bas berhenti-henti di kawasan Kota Setar dan lima kawasan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekitar Kedah.
Ia juga bagi meringankan beban pengguna, terutamanya golongan pekerja yang kini boleh menikmati pas perjalanan tanpa had pada kadar hanya RM50 sebulan.
Pas ini turut membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan bas berulang kali dalam negeri yang sama tanpa mengira jarak.
"Di Kota Setar, Kedah, pas perjalanan berharga RM50 membolehkan penduduk bergerak ke mana-mana destinasi termasuk ke Sungai Petani dan Alor Setar, serta ulang-alik tanpa sebarang masalah.
"Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan kad konsesi khas untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan pelajar sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan BAS.MY Kota Setar, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani.
Kesemua bas ini berwarna merah jambu ceria, direka khas untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pelajar sekolah.
Bas disertakan juga dengan ciri keselamatan moden seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), paparan LED untuk nombor dan destinasi bas, serta kemudahan pembayaran tambang tanpa tunai menggunakan kad debit, kredit dan e-wallet melalui kod QR.
Pelancaran ini dijangka mampu meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan kos sara hidup serta menyokong usaha kerajaan dalam memperluas sistem pengangkutan awam yang efisien dan inklusif.