fb fb fb fb fb

Bantuan kewangan kerajaan carian tersohor 2023 - Google

Grafik/Google Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Disember – Sepanjang 2023, topik bantuan kewangan menjadi carian popular rakyat Malaysia sekali gus menakluki senarai "Berita" sohor kini.

Carian Program ‘Sumbangan Tunai Rahmah (STR)’, iaitu bantuan tunai kerajaan Madani untuk golongan pendapatan rendah dan sederhana, menjadi carian paling popular, manakala ‘eBelia Rahmah’, kredit etunai sebanyak RM200 untuk remaja berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institusi tinggi, menduduki tempat keenam.

Google Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan ‘War in Israel and Gaza’ merupakan carian kedua paling tinggi dalam senarai "Berita" sohor kini.

“Ini mencerminkan keinginan dalam mencari ketelusan dan pengakhiran bagi perang yang amat membinasakan, di samping mengikuti berita bencana ‘Turkey Earthquake’ yang merupakan carian sohor kini kelima.

Berhubung carian berkaitan politik negara, ‘Keputusan PRN’ berada di tempat ketiga. Berita lain yang menarik perhatian di seluruh negara adalah penutupan syarikat penerbangan kos rendah tempatan ‘MYAirline’ pada awal Oktober, ‘PLKN’ atau Program Latihan Perkhidmatan Negara yang membuat kemunculan semula, kebimbangan ibu bapa mengenai risiko mainan ‘lato-lato’, insiden ‘The 1975’ di sebuah festival muzik di Sepang, dan kemalangan pesawat ‘Elmina’ di Shah Alam.

Kedudukan penuh 10 carian paling popular kategori "Berita" adalah 1) Sumbangan Tunai Rahmah (STR); 2) War in Israel and Gaza; 3) Keputusan PRN; 4) MYAirline; 5) Turkey Earthquake; 6) eBelia Rahmah; 7) PLKN; 8) Lato-lato; 9) The 1975 dan terkahir 10) Elmina.

Dalam kategori "Acara Sukan" pula, Indian Premier League 2023 mengungguli kedudukan paling atas carian tersohor, diikuti ACC Men’s Asia Cup, Cricket World Cup, Liga Super Malaysia 2023 kedudukan ke-4, seterusnya Denmark Open 2023, All England Open 2023, Indonesia Open 2023, China Open 2023, 2023 Sudirman Cup dan terakhir AFF Championship.

Dalam aspek hiburan pula, 10 carian paling popular untuk "Filem "diungguli Oppenheimer diikuti Barbie, Jawan, Fast X, Jailer, No More Bets atau 孤注一掷, Evil Dead Rise, John Wick 4, Leo dan Polis Evo 3, ditempat ke-10.


1212 GOOGLE TRENDING2

Selain berita semasa, hiburan dan politik tanah air, isu-isu berkaitan selebriti, turut menjadi perhatian. Konflik perkahwinan antara pelakon ‘Puteri Sarah’ dan pengarah filem ‘Syamsul Yusof’ menjadi perbualan hangat apabila Syamsul berkahwin secara senyap dengan ‘Ira Kazar’. Kontroversi itu mendapat perhatian ramai apabila nama mereka muncul dalam senarai teratas ‘Orang’ atau individu sohor kini.

Lain-lain termasuk pelawak Singapura ‘Jocelyn Chia’ yang telah membangkitkan kemarahan orang ramai kerana kenyataan tidak sepatutnya berkaitan penerbangan Malaysia Airlines, MH370.

Turut tersenarai dalam 10 carian tertinggi "orang" 2023 ialah pelakon pertama Malaysia yang memenangi Oscar ‘Michelle Yeoh’, dan pelakon veteran ‘Angeline Tan’ dan ‘Sabri Yunus’ yang baru-baru ini telah mendirikan rumah tangga.

Tahun 2023, turut meninggalkan kisah duka akan kehilangan individu penting dan bermakna dalam kehidupan rakyat Malaysia. Antaranya Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, antara carian paling banyak untuk senarai "Dalam Ingatan".

Bagaimanapun, penyanyi Hong Kong-Amerika ‘Coco Lee’ merupakan carian teratas untuk senarai tersebut. Ucapan takziah dicurahkan daripada peminatnya di Malaysia yang mengingati bintang itu dan karya muziknya.

Malaysia juga mengikuti kes yang melibatkan kematian mengerikan pempengaruh dan model Hong Kong berusia 28 tahun ‘Abby Choi’, dan bintang K-pop ‘Moonbin’ yang ditemui mati di rumahnya.

Senarai penuh 10 carian tertinggi "Dalam Ingatan" adalah, 1) Coco Lee, 2) Abby Choi, 3) Moonbin, 4) Salahuddin Ayub, 5) Matthew Perry, 6) Ridzuan Hashim, 7) Rohana Jalil, 8) Suhaimi Saad, 9) Badrul Muhayat dan 10) Raymond Goh.

MAT YUNUS BIN SABRI