fb fb fb fb fb

Bantuan banjir: NGO, badan kebajikan perlu daftar dengan PKOB

Bantuan untuk penduduk terjejas banjir di Kelantan

PASIR MAS, 27 Disember- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan kebajikan yang ingin menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Kelantan khususnya di Pasir Mas diingatkan supaya berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu sebelum berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, NGO perlu mendaftarkan diri supaya keberadaan mereka di kawasan terjejas banjir dapat dikenal pasti.

Selain aspek keselamatan, pihaknya juga ingin memastikan proses penyampaian bantuan berjalan lancar menerusi kerjasama dengan PKOB supaya semua penduduk dapat menikmati bantuan yang diberikan.

Sementara itu, Mohd Arif berkata, pasukan dari Selangor telah tiba di sini untuk membantu misi menyelamat penduduk yang terkesan banjir.
 
"Baru sampai hari ini ialah pasukan dari Selangor yang mana mereka ada kepakaran untuk menyelamat.

"Mereka ini membantu pasukan penyelamat di Pasir Mas untuk memindahkan penduduk dari tempat bahaya kepada tempat selamat iaitu PPS (pusat pemindahan sementara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pasir Mas.

SITI AISHAH BINTI MD ISA