fb fb fb fb fb

Banjir : Ujian lisan BM SPM diteruskan ikut jadual

Fadhlina Sidek (tengah) pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini / FOTO RTM

PUTRAJAYA, 1 Disember- Ujian lisan Bahasa Melayu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan sebagaimana dijadualkan mulai esok.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu sidang media khas hari ini bagaimanapun memberi jaminan, pihaknya telah mempertingkat kesiapsiagaan bagi memastikan kelancaran calon untuk menduduki peperiksaan kelak.

Keputusan untuk meneruskan peperiksaaan itu diambil setelah mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya NADMA, selain ramalan METMalaysia berhubung situasi Monsun Timur Laut (MTL) yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.

"Ujian bertutur Bahasa Melayu SPM akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 2 hingga 5 Disember 2024.

"KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada SOP Ops Payung yang akan terus dikemas kini," katanya.

Beliau turut memaklumkan, calon SPM di sembilan negeri terjejas banjir akan digerakkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif.

Jelasnya, langkah itu dilaksana bagi memastikan mereka selesa dan mengikuti jadual peperikaan seperti yang ditetapkan.

"Gerakan untuk pindahkan mereka sedang dilaksanakan bagi memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif, selain dapat menjalankan ulang kaji serta persiapan peperiksaan secara lebih tersusun," katanya.

Selain itu, Fadhlina memberitahu calon SPM dibolehkan untuk menggunakan pakaian bersesuaian ketika menghadiri peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menyediakan kelengkapan seperti alat tulis.

Jumlah calon SPM yang terjejas banjir di Kelantan berjumlah 3,111 manakala di Terengganu 1,734 orang sementara di Kedah 532 orang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE