fb fb fb fb fb

Banjir: SPM 2023 berlangsung seperti dijadualkan, tidak ditangguh - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 5 Januari - Tiada penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri yang terjejas banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peperiksaan itu tetap akan berlangsung seperti dijadualkan memandangkan Lembaga Peperiksaan Malaysia telah melakukan persiapan lebih awal bagi berdepan musim banjir.

Beliau berkata, sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini juga sudah dipulihkan terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Setakat ini tiada masalah. Kita sudah ada pengalaman menguruskan calon-calon SPM semasa banjir. Mungkin kalau yang susah sedikit, kalau ada isu, kalau terputus jalan akibat banjir, tetapi itupun kita dapat sokongan dari agensi kerajaan yang membawa calon ini ke tempat peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan banjir Pantai Timur oleh Wanita PKR, di sini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadual bermula Isnin depan sehingga 7 Mac.

Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN