fb fb fb fb fb

Banjir Muallim semakin surut, hanya satu PPS dibuka

FOTO APM MUALLIM

TANJUNG MALIM,16 September- Beberapa kawasan di daerah Muallim yang terjejas banjir dilapor semakin pulih tengah hari ini apabila hanya 33 penduduk daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 397 penduduk daripada 91 keluarga pagi tadi.

Tinjauan RTM mendapati PPS yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, manakala tiga PPS lain iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Kampung Orang Asli Sungai Lembing Behrang Stesen dan Dewan Serbaguna Kampung Pauh telah ditutup sepenuhnya.

Pegawai Daerah Muallim, Mohd Sabli Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan keadaan banjir semakin terkawal dan air mulai surut.

"Alhamdulillah, air semakin surut. Namun, masih banyak rumah yang digelangi air, jadi kita jangka PPS masih dibuka untuk penduduk berlindung. Jika cuaca terus panas, kita boleh jangka menutup semua PPS pada hari ini," katanya,

Bagaimanapun, Mohd Sabli menasihatkan penduduk terutamanya di kawasan rendah supaya terus berwaspada berikutan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

Banjir yang melanda daerah itu berpunca daripada hujan lebat berterusan lebih dua jam sehingga menyebabkan air Sungai Bernam melimpah ke kawasan rumah dan kawasan perkelahan berhampiran.

Lebih 20 petugas daripada Angkatan Pertahanan Awam, (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bertugas 24 jam secara bergilir di lima PPS sebelum ini bagi menjaga kebajikan penduduk terjejas.

SITI AISHAH BINTI MD ISA