BALIK PULAU, 16 Jun - Empat rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Air Puteh di sini, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3:53 petang sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang.
Jelas beliau, banjir kilat berlaku berpunca daripada hujan lebat di samping lokasi rumah terbabit yang terletak di kaki bukit.
"Hujan berterusan menyebabkan air memasuki rumah penduduk terjejas dengan anggaran kedalaman satu kaki," katanya.
Setakat ini, pemantauan pihaknya mendapati lokasi tersebut dalam keadaan terkawal dan paras air semakin surut.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi tamat pada pukul 6:33 petang.
Banjir kilat jejaskan empat rumah
