fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di Johor, Sabah berkurangan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 15 April- Situasi banjir di Johor dan Sabah menunjukkan tanda pemulihan apabila jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan mencatatkan penurunan, pagi ini.

Di Johor, jumlah penduduk terjejas banjir menurun kepada 106 orang daripada 34 keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini, berbanding 195 orang daripada 60 keluarga yang direkodkan petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata mangsa yang terjejas itu membabitkan daerah Batu Pahat dan Segamat dengan tiga PPS beroperasi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat serta Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek, Segamat.

Beliau berkata kawasan terlibat banjir di Batu Pahat adalah Kampung Baharu Sri Gading, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion dan Kampung Parit Samijan.

“Dua kampung terlibat banjir di Segamat pula adalah Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Jalan Muar. Keadaan cuaca yang dilaporkan sehingga pukul 8.00 pagi ini adalah cerah bagi keseluruhan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.

Di Sabah, jumlah penduduk terjejas banjir turun mendadak kepada 471 orang daripada 154 keluarga pagi ini dan ditempatkan di lima PPS, berbanding 890 orang daripada 259 keluarga petang semalam.

Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan Nabawan mencatat 29 penduduk terjejas dari lapan keluarga ditempatkan di satu PPS, diikuti Sook (239 orang, 79 keluarga, dua PPS); Beaufort (127 orang, 46 keluarga, satu PPS); dan Keningau (76 orang, 21 keluarga, satu PPS).

“Sebanyak 40 kampung terjejas akibat banjir dengan 30 kampung di Nabawan, enam kampung di Beaufort dan masing-masing dua kampung di Sook dan Keningau,” katanya.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM