Banjir: 606 unit pam bergerak ditempatkan di seluruh negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Sebanyak 606 unit pam bergerak ditempatkan di seluruh negara melibatkan aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan persekutuan bagi mengurangkan risiko banjir termenung terutama di kawasan rendah

RINGKASAN BERITA AI
  • 606 unit pam bergerak ditempatkan di seluruh negara untuk mengurangkan risiko banjir termenung di kawasan rendah.
  • Langkah sokongan mempercepatkan pengepaman air semasa hujan lebat berterusan.
  • Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) dilaksanakan di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak untuk mitigasi bukan struktur.
  • 140 projek Rancangan Tebatan Banjir diluluskan termasuk pembinaan ban, tembok, kolam takungan dan sistem pam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, inisiatif tersebut sebagai langkah sokongan untuk mempercepatkan proses pengepaman air ketika hujan lebat berterusan.

Katanya, pelbagai langkah mitigasi banjir bersepadu termasuk di kawasan berisiko tinggi di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak juga sedang dilaksanakan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim.

Pendekatan yang dilaksanakan merangkumi kaedah struktur dan bukan struktur bagi memastikan pengurusan risiko banjir lebih menyeluruh dan berdaya tahan.

“Bagi pendekatan bukan struktur, PETRA melalui JPS melaksanakan perancangan bersepadu melalui Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB).

“Bilangan PITB akan terus meningkat berdasarkan temph sah pelan, perubahan guna tanah, pertumbuhan penduduk, serta kekerapan dan intensiti hujan terkini.

“Sebanyak 14 PITB di kawasan Pantai Timur manakala Sabah dan Sarawak sebanyak 12 PITB yang telah dan sedang dilaksanakan,” katanya.

Datuk Seri Fadillah menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di parlimen.

Tambah beliau, bagi pendekatan struktur pula, JPS melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merangkumi pembinaan ban sungai, tembok banjir, kolam takungan, pintu kawalan serta sistem pam.

Sebanyak 140 projek RTB telah diluluskan termasuk projek baharu dan sambungan.