TEMERLOH, 20 Februari- Seramai 47 penduduk daripada 11 keluarga di Pahang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang di sini selepas kediaman mereka dinaiki air akibat limpahan Sungai Semantan awal pagi tadi.
Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang menyatakan penduduk terjejas banjir itu adalah dari Kampung Insaf, Kampung Rantau Panjang, Kampung Jeragan dan Kampung Kuala Kaung.
Sementara itu, daerah Bentong pulih sepenuhnya selepas PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia ditutup pada 2.00 petang tadi.
PPS tersebut sebelum ini menempatkan 140 penduduk daripada 47 keluarga.