
SYDNEY, 13 Ogos – Ratusan ribu pekerja ekonomi gig di Australia bakal menikmati kadar bayaran minimum lebih tinggi mulai minggu depan, dengan pemandu penghantaran berhak menerima sekurang-kurangnya A$31.30 (kira-kira RM90) sejam.
- Suruhanjaya Kerja Adil menetapkan kadar bayaran minimum lebih tinggi untuk pekerja ekonomi gig, berkuat kuasa pada 17 Ogos.
- Peraturan baru mewajibkan perlindungan insurans bagi kemalangan ketika bekerja untuk pemandu penghantaran.
- Keputusan disambut baik oleh kesatuan dan kerajaan, dianggap asas memperkukuh hak serta jaringan keselamatan pekerja gig.
Keputusan itu dibuat Suruhanjaya Kerja Adil Australia (Fair Work Commission) dan akan berkuat kuasa pada 17 Ogos, dalam langkah yang disifatkan sebagai antara standard terbaik dunia bagi pekerja ekonomi gig.
Kadar baharu itu lebih tinggi berbanding gaji minimum Australia ketika ini sebanyak A$26.44 (kira-kira RM76) sejam.
Peraturan baharu turut mewajibkan pemandu penghantaran menerima perlindungan insurans bagi kemalangan ketika bekerja.
Kesatuan Pekerja Pengangkutan Australia yang mewakili pekerja gig menyambut baik keputusan itu.
Setiausaha Kebangsaannya, Michael Kaine berkata, pekerja ekonomi gig terlalu lama tidak mendapat perlindungan mencukupi di bawah sistem pekerjaan negara berkenaan.
Katanya, standard baharu itu akan menjadi asas kepada usaha memperkukuh hak pekerja gig pada masa depan.
Permohonan untuk menetapkan standard berkenaan dikemukakan bersama kesatuan itu serta platform penghantaran DoorDash dan Uber Eats.
Menteri Pekerjaan dan Hubungan Tempat Kerja Australia, Amanda Rishworth, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan serta jaringan keselamatan untuk pekerja ekonomi gig.
Bank Dunia menganggarkan sehingga 435 juta pekerja gig dalam talian di seluruh dunia pada 2023, yang sebahagian besarnya tidak mendapat perlindungan pekerjaan seperti pekerja biasa.
Pada Jun lalu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut meluluskan konvensyen bagi memperluas perlindungan pekerjaan kepada pekerja gig.
Platform ekonomi gig biasanya mengawal tugasan melalui algoritma, termasuk menetapkan tugasan dan bayaran, menilai prestasi serta menamatkan akses pekerja kepada platform.
Walaupun platform mempunyai kawalan besar terhadap tugasan dan bayaran, pekerja berkenaan lazimnya dikategorikan sebagai kontraktor bebas dan bukannya pekerja.
Keadaan itu menyebabkan mereka dalam banyak keadaan tidak menikmati perlindungan seperti gaji minimum, keselamatan pekerjaan dan akses kepada perlindungan sosial. – AFP