
WASHINGTON, 13 Ogos – Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mengubah haluan 59 kapal komersial sebagai sebahagian daripada sekatan laut terhadap Iran, menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM).
- Setakat 12 Ogos, CENTCOM lapor pasukan AS melumpuhkan tiga kapal dan menaiki dua lagi bagi memastikan pematuhan sekatan.
- Jet pejuang F/A-18 berlepas dari kapal USS George H.W. Bush untuk menyokong operasi penguatkuasaan sekatan di rantau itu.
- Kegagalan rundingan AS-Iran mendorong Washington mengetatkan sekatan, menjejaskan perdagangan dan bekalan tenaga serta pergerakan kapal di Selat Hormuz.
CENTCOM dalam kenyataan di platform X pada Rabu berkata, setakat 12 Ogos, pasukan AS turut melumpuhkan tiga kapal dan menaiki dua kapal lain bagi memastikan pematuhan terhadap sekatan berkenaan.
“Sebuah jet pejuang F/A-18 berlepas dari kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush ketika kapal itu beroperasi di perairan rantau berkenaan bagi menyokong penguatkuasaan sekatan terhadap Iran,” menurut CENTCOM.
Tindakan itu susulan kegagalan rundingan antara AS dan Iran mencapai persetujuan, menyebabkan Washington memperketat sekatan terhadap pelabuhan Iran serta laluan perkapalan di rantau berkenaan.
Sekatan itu meningkatkan tekanan terhadap perdagangan dan bekalan tenaga dunia, ketika pergerakan kapal melalui Selat Hormuz terus terjejas akibat konflik dan ketegangan ketenteraan yang berlarutan.