KUALA LUMPUR, 3 Disember- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai RTM untuk menipu syarikat penyedia perkhidmatan katering.
RTM menerusi satu kenyataan memaklumkan perkara itu merupakan modus operandi baharu pihak tidak bertanggungjawab.
"Baru-baru ini RTM telah menerima beberapa aduan berhubung scammer yang menyamar sebagai pegawai RTM untuk menipu syarikat penyedia perkhidmatan katering.
"Individu tidak bertanggungjawab tersebut telah memalsukan segala dokumen lengkap beserta kepala surat dari RTM," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, RTM mahu semua pembekal untuk membuat semakan silang melalui telefon dan sebagainya bagi pesanan-pesanan diterima.
"Untuk makluman mulai Disember 2024, RTM tidak membuat apa-apa tempahan sebut harga atas sebab penutupan akaun," tambah kenyataan itu.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, individu terlibat boleh berhubung terus menerusi talian 03-2282 5333.