ATM junjung titah Tengku Hassanal berhubung aktiviti ketenteraan

Kenyataan Markas ATM

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih serta akur terhadap titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di negeri Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • ATM komited melaksanakan latihan dan operasi secara terancang, profesional dan bertanggungjawab.
  • ATM mematuhi garis panduan, prosedur operasi standard dan penilaian impak alam sekitar pihak berkuasa.
  • Tengku Hassanal bimbang latihan di kepulauan Pahang menjejaskan ekosistem dan menitahkan ATM mohon perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu.

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, sebagai institusi pertahanan negara, ATM sentiasa komited memastikan setiap latihan dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab.

Menurut kenyataan itu, ATM mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi standard serta penilaian impak alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“ATM turut mengiktiraf kepentingan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan serta komuniti setempat dalam setiap pelaksanaan latihan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, ATM akan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pelaksanaan latihan ketenteraan dilakukan secara lebih tersusun, selamat, teratur dan berhemah, selain mengambil kira sensitiviti setempat.

Dalam kenyataan sama, ATM memaklumkan langkah mitigasi, pemantauan dan penilaian berterusan sentiasa dilaksanakan bagi meminimumkan sebarang kesan negatif terhadap ekosistem semula jadi di kawasan terlibat.

Terdahulu, media melaporkan Tengku Hassanal menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan latihan ketenteraan di kawasan kepulauan di Pahang yang berisiko menjejaskan ekosistem alam sekitar.

Baginda turut menitahkan agar ATM mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan di kawasan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.