
SEPANG, 24 Mei – Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini diselubungi semangat solidariti apabila orang awam berkumpul bagi menyambut ketibaan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
- Ahmad Hazwan: usaha membantu Palestin diteruskan walau berdepan cabaran; Sumud platform penting untuk menyampaikan bantuan.
- GSF gerakkan bantuan melalui laluan laut dan darat untuk memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian antarabangsa.
- Arzakker Adzin ajak lebih ramai warga Malaysia, terutama anak muda, sertai aktiviti kemanusiaan bagi memperkuat solidariti Palestin.
- Muhammad Farhan: rakyat Malaysia perlu terus beri sokongan diplomatik dan bantuan kerana Palestin sedang menghadapi kesusahan.
Bagi aktivis, Ahmad Hazwan, usaha membantu Palestin tidak akan terhenti meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam misi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Menurutnya, GSF menjadi wadah penting dalam usaha menggerakkan bantuan melalui laluan laut dan darat agar isu Palestin terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
“Semuanya kerana Palestin. Sumud ini hanyalah platform. Walaupun tidak nampak kejayaan secara langsung, insya-Allah usaha tetap diteruskan ke arah menyampaikan bantuan ke Palestin. Perjuangan ini tidak akan terhenti,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Arzakker Adzin berharap lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, tampil menyertai aktiviti kemanusiaan seperti GSF bagi memperkukuh suara solidariti terhadap Palestin.
“Saya berharap lebih ramai warga Malaysia, terutama anak muda, menyertai aktiviti kemanusiaan Global Sumud Flotilla bagi menyuarakan kebebasan Palestin dengan lebih lantang,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Farhan Kamal menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu terus memberikan sokongan kepada Palestin, termasuk melalui hubungan diplomatik dan bantuan kemanusiaan.
Menurutnya, rakyat Palestin amat memerlukan sokongan berterusan memandangkan keadaan yang semakin mencabar di wilayah berkenaan.
“Kita perlu memperkukuh hubungan diplomatik dengan kerajaan Palestin serta terus memberikan dorongan, sokongan dan bantuan dalam apa jua keadaan kerana mereka sedang berada dalam kesusahan. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka,” katanya.