fb fb fb fb fb

Aspek tatakekola yang baik penting dalam pembangunan teknologi AI

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

CYBERJAYA 18 Ogos - Penerapan aspek tatakekola serta pengurusan tadbir urus yang baik amat penting dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia membolehkan proses transformasi digital negara dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak swasta sebelum ini tanpa menerapkan proses ketelusan dan tatakelola yang baik akan menyebabkan Malaysia mengalami kerugian.

“Ketika itu, ia bukan privatisation tetapi piratisation dan tidak ikut proses, akibatnya apa? Banyak syarikat yang umumnya (asalnya) diberikan dengan harapan memberi faedah kepada negara dan rakyat... akhirnya terpaksa ditampung oleh kerajaan kerana kerugian besar dan menjadi beban hutang yang besar yang harus dilangsaikan oleh rakyat.

Datuk Seri Anwar turut mengingatkan supaya pelaksanaan teknologi digital perlu mengambil kira keadilan sosial dan nilai kemanusiaan supaya jurang antara bandar, luar bandar, kaya atau miskin serta akses pendidikan tidak terus membesar.

Tambahnya, atas kesedaran dan keyakinan Kerajaan MADANI dalam pembangunan teknologi AI, peruntukan puluhan bilion ringgit kepada beberapa kementerian dan agensi, diharap dimanfaat secara meluas untuk pembangunan negara.

"Supaya menjamin kejayaan ekonomi yang lebih baik, dalam masa yang sama perlu menjamin prinsip inklusif bagi seluruh rakyat termasuk bandar, desa, kawasan pendalaman, golongan kaya dan miskin serta kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, supaya semua rakyat dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan ini", katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Program Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU) serta Pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU di Cyberjaya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan University Multimedia (MMU) menerusi AI Transformation Centre (AIX).

Kerjasama itu akan memperkukuh keupayaan pengajaran dan penyelidikan di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di MMU yang dibangunkan dengan sokongan pelaburan bersama berjumlah RM37 juta oleh MCMC dan MMU.

Ia menampilkan 13 makmal canggih yang berfungsi sebagai hab inovasi, kerjasama antara kerajaan-industri-akademia, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan luar bandar.

AIX mewakili pelaburan nasional yang penting oleh MCMC untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam bakat kecerdasan buatan (AI), inovasi dan penyelesaian berorientasikan industri.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Majlis pelancaran tersebut diakhiri dengan sesi TEMU ANWAR, yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berinteraksi secara santai dan berkongsi pandangan bersama lebih 1,000 pelajar MMU.

ROSLINA BINTI DIN