
CEBU, 8 Mei – Pemimpin negara anggota ASEAN kini mempertimbangkan pendekatan yang lebih efektif dan agresif dalam penglibatan dengan Myanmar, namun Konsensus Lima Perkara kekal menjadi kerangka utama dalam usaha menangani krisis di negara itu.
- Kemungkinan lawatan Menteri-Menteri Luar dan beberapa pemimpin serantau ke Myanmar untuk memperkukuh dialog dan rundingan.
- Malaysia menghantar hospital medan ke Myanmar dengan syarat bantuan disalurkan adil tanpa diskriminasi agama atau kawasan.
- Syarat itu dipatuhi apabila bantuan turut dimanfaatkan masyarakat Buddha dan Muslim di beberapa kawasan.
- Malaysia menegaskan pendekatan dialog dan rundingan konstruktif perlu diteruskan demi keamanan serta kestabilan rantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat pertama kali pemimpin ASEAN menunjukkan kesediaan untuk bergerak ke hadapan dengan penglibatan yang lebih proaktif bersama Myanmar.
Menurut beliau, langkah itu termasuk kemungkinan lawatan Menteri-Menteri Luar ASEAN serta beberapa pemimpin serantau ke Myanmar bagi memperkukuh usaha dialog dan rundingan.
“Ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun lalu, usaha tersebut dialu-alukan namun masih belum ada komitmen sebenar untuk bergerak ke hadapan.
“Bagaimanapun hari ini, buat pertama kali terdapat kesediaan untuk mengatakan bahawa kita perlu teruskan. Konsensus Lima Perkara kekal diteruskan, tetapi kini kita mempunyai penglibatan yang lebih berkesan termasuk kemungkinan lawatan Menteri-Menteri Luar dan beberapa pemimpin ke Myanmar,” katanya pada sidang media di Cebu, Filipina.
Tambah Datuk Seri Anwar, perkembangan itu menunjukkan terdapat kemungkinan yang lebih besar untuk ASEAN terus berunding dan berinteraksi dengan Myanmar walaupun penyelesaian muktamad masih memerlukan masa.
“Ini bukan penyelesaian akhir, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada kemajuan besar dalam usaha penglibatan bersama Myanmar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sebelum ini turut menghantar hospital medan ke Myanmar dengan syarat bantuan tersebut disalurkan secara adil kepada semua penduduk tanpa diskriminasi agama atau kawasan.
Menurut beliau, syarat tersebut dipatuhi apabila bantuan kemanusiaan itu turut dimanfaatkan masyarakat Buddha dan Muslim di beberapa kawasan di negara berkenaan.
Sehubungan itu, Malaysia tetap berpendirian bahawa pendekatan dialog dan rundingan secara konstruktif perlu diteruskan demi keamanan serta kestabilan Myanmar dan rantau ASEAN secara keseluruhan.