fb fb fb fb fb

ASEAN capai persefahaman bangun industri nadir bumi

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober -Negara-negara ASEAN mencapai persefahaman untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perbincangan itu diadakan bawah tonggak ekonomi ASEAN, dengan tumpuan terhadap perkongsian ilmu, amalan terbaik serta kerjasama teknologi antara negara anggota.

Menurut beliau, fokus utama kini ialah membangunkan aktiviti hiliran dan pertengahan susulan langkah beberapa negara termasuk Malaysia yang melarang eksport bahan mentah tersebut.

“Beberapa negara seperti Malaysia telah melaksanakan larangan eksport REE.

Jadi, ASEAN kini menumpukan usaha ke arah membangunkan industri hiliran dan pertengahan bagi meningkatkan nilai tambah sumber tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Tengku Datuk Seri Zafrul, meskipun persefahaman telah dicapai, tiada garis masa khusus ditetapkan bagi pelaksanaannya buat masa ini.

REE terdiri daripada 17 mineral bernilai tinggi yang digunakan secara meluas dalam teknologi moden.

Ia termasuk telefon pintar, turbin angin, kenderaan elektrik, bateri litium serta peralatan pertahanan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN