fb fb fb fb fb

ASA 2024: Kategori "podcast" diperkenal

Sidang Media Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 14 Jun- Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 memperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu, iaitu audio siar atau Podcast Terbaik.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pencalonan ini merupakan peluang kepada pengaudio siar atau 'podcaster' untuk tercalon dalam ASA 2024.

"ASA akan dibuka selama dua minggu bermula 1 Julai hingga 15 Julai 2024. Ia merupakan edisi ke-36 dan penganjuran kali ini menginspirasikan “sparkling diamonds” dengan tema "Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan", katanya dalam Sidang Media Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024 di Putrajaya.

Tahun ini, ASA 2024 melibatkan sebanyak 60 kategori, terdiri daripada 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.

Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga di tampilkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

Syarat utama penyertaan ialah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran yang berlesen dan pertama kali disiarkan di stesen penyiaran dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

Sepanjang tempoh pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan untuk mengakses dan mengemukakan pencalonan melalui sistem ASA 2024 di Makmal Komputer B, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi.

Semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta dipelawa untuk merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.

ASA merupakan inisiatif penting kerajaan melalui Kementerian Komunikasi untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air serta penggiat di belakang tabir.

ROSLINA BINTI DIN