KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini, demikian dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata,kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko lebih menyeluruh dan inklusif.
"Saya juga menekankan bahawa persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut ini tidak hanya mengenai kesiapsiagaan semasa, tetapi juga melibatkan langkah-langkah berterusan.
"...untuk memantau kawasan hotspot banjir, memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, serta menyelaraskan bantuan untuk semua yang terjejas oleh bencana," katanya ketika mengulas mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikannya di Kota Tinggi, Johor.
Dalam pada itu seluruh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah juga telah diarahkan untuk mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu bagi memastikan kesiapsiagaan penduduk dan pihak berkuasa setempat berada pada tahap optimum.
"Koordinasi awal antara agensi kerajaan, Majlis Daerah, badan sukarela serta komuniti setempat amat penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.
"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga," katanya lagi.
Pada masa sama orang ramai diingatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui portal bencana rasmi menerusi laman sesawang www.portalbencana.nadma.gov.my.
Sebelum itu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2024 yang merupakan inisiatif diselaraskan oleh NADMA di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di Kota Tinggi.
Pada majlis berkenaan sempat melawat tapak pameran aset tentera dan menyaksikan Penyerahan Bot CSR hasil usaha pelajar dan alumni UniKL kepada pengurusan bencana Negeri Johor.
"Sebanyak 28 buah bot akan diserahkan ke seluruh Malaysia dan 2 daripadanya akan ditempatkan di Johor. Ini adalah satu inisiatif yang membanggakan di mana generasi muda bersedia menyumbang dalam usaha kesiapsiagaan negara.
"Saya percaya, dengan kesedaran yang tinggi dan langkah-langkah proaktif, kita mampu melindungi lebih banyak nyawa dan harta benda. Semoga kita dapat terus memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," katanya.