fb fb fb fb fb

Aplikasi e-hailing InDrive dan Maxim diarah henti operasi 24 Julai

Logo InDrive dan Maxim

JOHOR BAHRU, 9 Mei - Dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, diarahkan menghentikan operasi di Malaysia berkuat kuasa 24 Julai ini kerana beroperasi tanpa kelulusan sah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat penamatan kepada kedua-dua syarikat, selain memberi tempoh notis yang sewajarnya.

“Kedua-dua platform telah diberi surat tunjuk sebab. Penamatan telah diputuskan dan kita akan pastikan penguatkuasaan dibuat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Semula Landasan Kargo Kempas Baru–Pasir Gudang di Terminal KTMB Pasir Gudang.

Menurut beliau, kedua-dua syarikat masih boleh mengemukakan rayuan, namun keputusan akhir terletak di bawah bidang kuasanya.

Sebelum ini, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia mendakwa aplikasi berkenaan tidak mematuhi peraturan termasuk membenarkan pemandu beroperasi tanpa Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), serta menggesa kerajaan menyekat akses platform terbabit.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI