REPUBLIK KYRGYZ, 16 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz, Akylbek Zhaparov saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Menerusi lawatan rasmi Anwar ke republik berkenaan, beliau berkata pertemuan kira-kira sejam itu dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia-Republik Kyrgyz.
"Walhasil, pertemuan ini telah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara selain bertukar kepakaran terkait aspek pelaburan, pendidikan, halal, pengurusan haji dan pelancongan," kata Anwar menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia-Republik Kyrgyz akan terus melangkah ke hadapan menerusi pelbagai kerjasama yang telah dirancang, hasil lawatan berkenaan.
"Dimulakan dengan berkongsi pengalaman, rakyat akan menikmati keindahan hubungan terjalin.
"Itu saya singkapkan mengenai lawatan sulung ke Republik Kyrgyz yang sangat penting untuk menerokai peluang dan situasi menang-menang antara kedua-dua negara," katanya.