fb fb fb fb fb

Anugerah HKM MPI-Petronas 2023, RTM rangkul lapan anugerah

Foto pemenang-pemenang RTM dalam Anugerah HKM MPI-Petronas 2023

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul lapan anugerah bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 hari ini.

Noradaliah Nasharuddin dinobat sebagai pemenang emas bagi kategori Bicarawara Video Terbaik dan Noorazizah Ibrahim dipilih sebagai pemenang emas bagi kategori Dokumentari Radio Terbaik, dengan masing-masing membawa pulang trofi, wang tunai bernilai RM10,000 dan sijil.

"Untuk pertamanya, saya bersyukur atas penghargaan ini dan saya tidak sangka. Setelah sekian lama saya berkhidmat di RTM, akhirnya membuahkan hasil dan tahniah juga saya ucapkan kepada pasukan saya di bawah Unit Bicarawara Bahagian Seksyen Hal Ehwal Semasa. Tahniah juga saya ucapkan kepada semua wakil RTM sebab berjaya membuktikan yang kita masih relevan dan sentiasa yang memberikan terbaik untuk penonton," kata Noradaliah Nasharuddin kepada pemberita.

"Alhamdulillah, syukur sangat hari ini. Ini bukan percubaan kali pertama tetapi percubaan yang ke beberapa kali dan alhamdullillah saya dinobat sebagai pemenang bagi anugerah emas. Terima kasih kepada MPI dan RTM kerana mengiktiraf karya kami sebagai pengamal media," kata Noorazizah Ibrahim kepada pemberita.

Sementara itu, RTM turut memenangi beberapa kategori lain antaranya kategori Kewartawanan Penyiasatan Terbaik, Laporan Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik, Kewartawanan ESG Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.

"Memang tak sangka dapat anugerah ini sebab kita tahu anugerah MPI-Petronas ini antara yang berprestij untuk para media dan ini adalah penyertaan saya kali pertama. Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi seluruh keluarga besar RTM," kata Nor Ain Abu Bakar, Pemenang Gangsa bagi Kewartawanan Penyiasatan Terbaik.

"Saya nak ucap terima kasih kepada rakan penerbit saya juga untuk kejayaan ini. Rakan kerja saya dalam Podcast SelangorFM. Selain itu, kepada semua pengikut SelangorFM, kemenangan ini pun juga milik anda. Terima kasih kerana sentiasa sokong kami," kata Muhammad Asyraf Mohd Zuhairie dan Muhammad Syahzuwanfatullah Fozi, Pemenang Perak bagi Laporan Radio Terbaik.

"Saya rasa teruja dengan anugerah ini. Kemenangan ini saya dedikasikan juga kepada pasukan NasionalFM termasuk pihak produksi dan juga teknikal. Apa yang penting adalah semangat untuk kita bersaing sebab industri ini adalah industri yang sangat luas dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini," kata Margaret Gambang, Pemenang Gangsa Lintas Langsung Berita Radio Terbaik (NasionalFM).

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM