fb fb fb fb fb

ANGKASA: 80 peratus Projek SejaTi MADANI Koperasi siap dilaksana

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah/RTM

LANGKAWI, 17 Oktober – Sebanyak 80 peratus daripada projek di bawah inisiatif SejaTi MADANI Koperasi di seluruh negara telah berjaya disiapkan sepenuhnya.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata ini melibatkan 20 projek bernilai RM2 juta.

Beliau turut memaklumkan, inisiatif itu melibatkan pelbagai bidang termasuk ternakan ikan tilapia dan ikan keli, spa kecantikan, serta jualan hasil masyarakat orang asli di pedalaman Sabah dan Sarawak bertujuan memperkasa ekonomi koperasi tempatan.

Jelas beliau di Kedah, projek tersebut dilaksanakan oleh Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (KOPTUBAS) yang menaik taraf gerai jualan mereka kepada karavan moden bagi menarik lebih ramai pelanggan, khususnya pelancong.

“Alhamdulillah, projek ini telah siap dan dijangka dapat meningkatkan jualan koperasi antara 30 hingga 50 peratus. Sebelum ini jualan harian sekitar RM1,000, tetapi dengan penambahbaikan ini mungkin boleh meningkat kepada RM1,500.

"Ruang lebih bersih dan selesa juga dijangka menarik lebih ramai pelancong,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Koperasi di Langkawi, hari ini.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyeru agensi dan jabatan kerajaan agar terus menyokong usaha pembangunan koperasi yang bukan sahaja menjaga kesejahteraan ahli-ahli koperasi, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dan ekonomi negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD