Anggota bomba sukarela dikhuatiri lemas ketika latihan bot di Lahat

Foto JBPM Perak

PASIR PUTEH, 9 Mac– Seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikhuatiri lemas dalam satu insiden di sebuah tasik di Lahat, Pasir Puteh, Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti sebagai Master Ka-Jun Cheng Siew, 25 tahun, anggota PBS Menglembu.
  • Panggilan kecemasan diterima pada 7.27 malam; pasukan tiba pada 7.54 malam.
  • Mangsa dan pemandu bot jatuh semasa bot membuat pusingan U ketika latihan bersama 16 anggota.
  • Pemandu diselamatkan; mangsa dipercayai tenggelam kira-kira 150 meter dari tebing; operasi pencarian sedang dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menerusi satu kenyataan mengenal pasti mangsa yang hilang sebagai Master Ka-Jun Cheng Siew, 25 tahun.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.27 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 7.54 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anggota PBS Menglembu sedang menjalani latihan dan pengujian bot bersama 16 anggota lain pada petang berkenaan,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, mangsa menaiki bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam tasik ketika bot berkenaan sedang melakukan pusingan U di tengah tasik.

Pemandu bot tersebut berjaya diselamatkan oleh rakan setugas yang lain, namun mangsa dipercayai terus tenggelam.

Lokasi mangsa terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing tasik.

Sehingga kini, operasi pencarian masih giat dijalankan bagi mengesan mangsa.