KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Program pendidikan untuk anak-anak rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa, telah bermula.
Program yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Selasa lepas.
Menerusi satu kenyataan, KPM memaklumkan, selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, kementerian komited memastikan anak-anak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir.
Program pendidikan tersebut dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak terlibat bagi mengelakkan keciciran pembelajaran.
Seramai 68 orang guru terlibat secara langsung dalam program berkenaan.
Bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program itu menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA).
Kit itu memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri, seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi dan numerasi.
Modul PRISMA yang digunakan pula, menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri serta memupuk keseimbangan kanak-kanak berkenaan dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.
Ia sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu.