Amaran Tsunami: Bomba Sabah periksa 22 lokasi di empat kawasan pesisir pantai

Seramai 33 anggota bomba digerakkan ke lokasi berisiko di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak/Foto RTM Tawau

KOTA KINABALU, 8 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah memeriksa 22 lokasi di kawasan pesisir pantai Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak susulan gempa bumi kuat yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 33 anggota bomba digerakkan ke lokasi berisiko bagi operasi pemantauan dan keselamatan.
  • Pemantauan berterusan dijalankan untuk memastikan keselamatan penduduk dan mengesan perubahan paras air laut.
  • Setakat 11.45 pagi, semua kawasan pemantauan dilaporkan normal dan selamat tanpa kejadian luar biasa.

JBPM Sabah dalam kenyataan berkata seramai 33 anggota bomba digerakkan ke lokasi berisiko di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

Pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk selain mengesan sebarang perubahan paras air laut yang boleh menjejaskan kawasan pesisir pantai.

Di Tawau, seramai 13 anggota menjalankan pemantauan di empat lokasi iaitu Wisma Pusaka, Taman Tawau Lama, Persisiran Pantai Jalan Bandar Tawau dan Batu Payung.

Sementara itu, Balai Bomba Semporna menggerakkan lapan anggota untuk memantau 11 lokasi di kawasan pesisir dan perairan dengan bantuan bot penyelamat bagi menilai keadaan laut serta aktiviti awam.

Di Lahad Datu, sembilan anggota bomba melakukan pemerhatian di empat lokasi melibatkan Bandar Lahad Datu, Kampung Puyut, Kampung Sharif dan Jalan Pantai.

Balai Bomba Kunak pula menugaskan empat anggota untuk memantau tiga lokasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

“Setakat pukul 11.45 pagi, status di semua kawasan pemantauan dilaporkan normal dan selamat.

“Keadaan laut dan kawasan pesisir yang dipantau berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian luar biasa atau peningkatan paras air laut yang membahayakan setakat laporan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Orang ramai di kawasan terlibat turut diberi nasihat keselamatan dan diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.