ALOR SETAR, 24 November - Kejadian air pasang besar yang berlaku di Kuala Kedah, hari ini menyebabkan air laut mencecah 2.95 meter (m) di beberapa kawasan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata air pasang besar yang berlaku pada pukul 12.40 tengah malam tadi itu menyebabkan air laut melepasi ramalan iaitu 2.9 m.
Katanya, antara kawasan yang dinaiki air adalah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.
"Pemantauan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar di sekitar kawasan itu antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi.
"Bagaimanapun, tiada rumah dan premis perniagaan yang terjejas dan keadaan adalah terkawal serta tidak menjejaskan aktiviti setempat," katanya menerusi kenyataan.
Norlizawati turut menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di Kuala Kedah supaya berhati-hati selain mengambil langkah persediaan berikutan air pasang besar dijangka berlaku awal pagi esok dan Sabtu ini.
Air pasang besar diramal berlaku di dua daerah di negeri itu iaitu di Kota Setar dan Kuala Muda selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu.