Aidiladha: Program Sunduk Korban manfaat lebihan daging

Daging korban yang diproses menjadi makanan sedia dimakan menggunakan teknologi retort sebelum diagihkan kepada asnaf/ RTM

MELAKA, 29 Mei- Lebihan daging korban sempena Aidiladha boleh diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi program Sunduk Korban untuk diproses dan diagihkan kepada golongan asnaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek memastikan lebihan daging korban dimanfaatkan secara lebih meluas serta mengekalkan kebersihan dan ketahanan makanan.
  • Daging dibekukan dan dibungkus kedap udara sebelum diagihkan kira-kira sebulan selepas Aidiladha.
  • Pihak yang tidak tahu ke mana mengagihkan atau masih ada lebihan dalam dua hari digalakkan menyalurkan kepada projek.
  • Sebahagian daging diproses menjadi rendang dan kurma menggunakan teknologi retort, kemudian diagihkan dalam bentuk bakul makanan.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata program yang dilaksanakan bersama Gabungan Dakwah Melaka (GDM) itu bertujuan memastikan daging korban dapat dimanfaatkan secara lebih meluas selain mengekalkan tahap kebersihan dan ketahanan makanan.

Menurut beliau, daging korban yang diterima akan disejuk beku serta dibungkus secara kedap udara sebelum diagihkan kira-kira sebulan selepas Aidiladha.

“Kalau masih ada daging korban dalam tempoh dua hari ini dan tidak tahu mahu diagihkan ke mana, bolehlah disalurkan kepada program Sunduk Korban. Insya-Allah ia (daging) akan diagihkan kepada asnaf seperti ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kasih Qurban Perdana Mualaf Negeri Melaka di Kompleks Darul Huda MAIM, Kesidang, di sini, pada Khamis.

Mohd Hairulamin berkata sebahagian daging korban turut diproses menjadi makanan sedia dimakan seperti rendang dan kurma menggunakan teknologi retort sebelum diagihkan dalam bentuk bakul makanan kepada golongan memerlukan.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan lebihan daging korban boleh menghantarnya bermula hari ini hingga esok untuk tujuan pemprosesan.

Tahun ini, MAIM menyasarkan pengumpulan sebanyak 4,000 pek daging korban berbanding 3,200 pek tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.