fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen disaran jalani pemeriksaan kesihatan

PUTRAJAYA, 2 Ogos - Jemaah menteri dan ahli Parlimen sekali lagi dinasihatkan untuk menjalankan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Menurut Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa perkara itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Jelasnya bagi menggalakkan usaha itu  pihaknya akan melaksanakan program serta aktiviti kesihatan khususnya saringan kesihatan pada sesi pembukaan parlimen yang akan datang.

"Kita memperingatkan semua ahli parlimen untuk menjaga kesihatan masing-masing. Saya tak pasti kalau sesi sebelum ini tapi untuk sesi kali ini memang kita telah pun mengemukakan cadangan ini.

"Cadangan itu telah dilakukan oleh speaker Dewan Rakyat tempoh hari dan kita dalam jawantankuasa ANMS juga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada tempoh hari ada juga yang menyarankan untuk ahli-ahli parlimen dan semua pekerja untuk menggalakkan melakukan saringan kesihatan," katanya yang berharap semua ahli parlimen mengambil ikhtibar pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kementerian Kesihatan 2023 di Putrajaya.

"Contohnya baru ni apa yang berlaku kepada Allahyarham (Salahuddin), kita memperingatkan kepada semua ahli Parlimen untuk menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi HSB.

Allahyarham yang memulakan inisiatif Rahmah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada 21 Julai lalu untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

ARTIKEL BERKAITAN:
Salahuddin meninggal dunia pukul 9.23 malam
Allahyarham Datuk Seri Salahuddin, selamat dikebumikan
Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada seluruh keluarga Salahuddin
PM dukacita pemergian Allahyarham Salahuddin
Datuk Seri Salahuddin selesai jalani pembedahan, kini ditempatkan di ICU

Media Baharu