(Foto FB Istana Negara)
KUALA LUMPUR, 12 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh perbankan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang, selain menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
"Seri Paduka berdua menghargai sumbangan mendiang kepada industri perbankan dan kewangan serta ekonomi negara. Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia perbankan negara," demikian menurut perkongsian itu.
Hong Piow, 92, yang meninggal dunia pada 10.20 pagi hari ini, antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia.
Mendiang menubuhkan Public Bank pada 1965 dan sejak itu, mendiang menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan luar negara.
Public Bank antara bank utama di Malaysia
(Foto FB Teh Hong Piow)