fb fb fb fb fb

'Agong bertitah, Istana Negara tidak terlibat percaturan politik' - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan titah itu disampaikan kepadanya ketika beliau diterima menghadap Seri Paduka di Istana Negara, semalam.

"Hari ini seperti kelazimannya, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet esok dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

"Baginda bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara.

"Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik," kata Anwar menerusi Facebooknya.

Dalam hantaran sama, Anwar berkata, seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

SITI AISHAH BINTI MD ISA