
KUALA LUMPUR, 10 November – Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menyemak semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
- Permohonan mahkamah memohon perintah pelepasan baharu selaras perintah pengampunan Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September 2026.
- Istana Negara menegaskan pengampunan bersyarat jelas, tidak berkaitan kes lain membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Kuasa pengampunan ialah prerogatif Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan; semua syarat pengampunan telah dipenuhi.
Menurut kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, permohonan itu turut memohon supaya perintah pelepasan baharu dikeluarkan selaras dengan perintah pengampunan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.
“Permohonan berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan perintah pelepasan itu selaras dengan perintah pengampunan berkenaan,” katanya.
Perkembangan itu menyusul selepas, Istana Negara pada 7 November lalu menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, selain tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut kenyataan itu, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan berhubung pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.
Istana Negara turut menjelaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang perlu dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi, justeru sebarang hujah yang mempertikaikannya menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.