KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Lebih 200 penggiat filem dan televisyen dari lapan negara ASEAN bakal berhimpun di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN (AFTS) 2025 Siri 2 dari 28 hingga 30 Oktober ini.
Ia melibatkan penyertaan lebih 20 organisasi industri kreatif dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja, Laos dan Brunei.
Turut serta, stesen penyiar utama tempatan termasuk RTM, BERNAMA, Media Prima dan ASTRO selain persatuan industri kreatif, syarikat produksi serta agensi kandungan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan, AFTS menjadi platform penting memperkukuh jaringan penerbitan bersama dan menyatukan komuniti kreatif ASEAN di bawah satu ekosistem dinamik.
“FINAS akan turut komited memainkan peranan sebagai peneraju dalam memperkasakan industri filem tempatan, melahirkan bakat baharu serta memperkukuhkan kolaborasi serantau agar suara ASEAN terus bergema di pentas dunia,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Fokus utama sidang kemunck itu ialah Forum Penerbitan Bersama (Co-Production) yang membuka peluang kolaborasi rentas sempadan serta memperkukuh jaringan strategik antara penerbit dan penyiar serantau.
Selain itu, AFTS turut menampilkan program 'pitching' B2B, bengkel kandungan digital dan Virtual Film Lab yang menghimpunkan pelajar filem serta pencipta kandungan muda ASEAN bagi perkongsian ilmu bersama tenaga profesional.
Kemuncak program ialah Malam Gala ASEAN pada 29 Oktober yang akan dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbitan Bersama antara negara ASEAN.
Bertemakan “ASEAN United – Kreativiti Tanpa Sempadan”, AFTS 2025 menjadi manifestasi kesepakatan negara ASEAN memperluas pasaran kandungan kreatif ke peringkat global.
Program anjuran bersama FINAS, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) itu turut memperkenalkan inisiatif baharu, ASEAN Film & TV Summit Pitch, menawarkan insentif sehingga RM50,000 kepada lima projek terbaik.